SEJARAH SEKOLAH

Sekolah ini ditubuhkan pada 11 Januari 1965 dengan nama Sekolah Menengah Rendah Changkat Jering menggunakan bahasa pengantar Melayu dan Inggeris. Pelajar rintis seramai 219 orang pada mulanya menumpang di SK Changkat Jering, kemudian berpindah ke SRJK(C) Sin Min, Simpang. Pada tahun 1967 bangunan utama siap dibina di atas kawasan seluas 5.41 hektar yang disumbangkan oleh YAB Encik Wan Mohamed Noor bin Wan Nasir. Bangunan asal terdiri daripada tiga blok bangunan dua tingkat, sebuah gelanggang badminton dan sepak takraw bersimen. 

Pada tahun 1968 nama sekolah ini ditukar kepada Sekolah Menengah Tengku Menteri mengambil sempena gelaran yang diberi kepada Ngah Ibrahim bin Long Jaafar, seorang tokoh sejarah terkenal tanah air. 

Pada tahun 1975, bangunan tiga tingkat siap dibina. Sebuah bangunan surau didirikan pada tahun 1980, manakala sebuah dewan serbaguna dan sebuah gelanggang bola keranjang telah disiapkan pada tahun 1983. 

Pada tahun 1984, bangunan satu tingkat yang mengandungi enam bilik darjah dibina di bawah projek pasang siap. Sehingga tahun 1995 sekolah ini mempunyai enam blok bangunan. 

Pada tahun 1991 sekolah ini telah mencipta nama menjadi Sekolah Harapan Negara peringkat negeri Perak dan pada tahun 1993 pula menjadi johan dalam pertandingan Kebersihan, Keceriaan dan Keindahan (3K) pada peringkat kebangsaan bagi kategori sekolah menengah luar bandar. Sekolah juga telah mencatat sejarah apabila menang kategori Juara-Juara 3K pada tahun 2002 dan Sekolah Harapan Negara tempat ketiga peringkat Kebangsaan pada tahun 2004. 

Pada tahun 1995 sekolah ini telah mendapat kemudahan komputer yang lengkap dengan kemudahah internet dan multimedia daripada Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah projek Rangkaian Munsyi yang melibatkan 14 buah sekolah di seluruh negara. 

Pada tahun 1997 sekolah ini terpilih pula untuk melaksanakan Projek Rintis Sekolah Bestari anjuran kementerian Pendidikan Malaysia. Pada tahun 2002 dua mata pelajaran vokasional diperkenalkan iaitu Seni Reka Tanda dan Tanaman Makanan sebagai mata pelajaran elektif pelajar menengah atas
.

No comments:

Post a Comment